19 October 2006
"Kamarul, esok result keluar." Suara Imran kedengaran di hujung corong
telefon. "Kalau ada yang sangkut, habislah aku, extend 6 bulan lagilah."
Nafas Kamarul seakan tersekat-tersekat apabila mendengar kata-kata Imran
tadi. Kamarul berdebar-debar, dia sudah tidak sanggup lagi burning the
midnight oil.
Kisah Sebenar Orang Berhutang
19 October 2006
"Kamarul, esok result keluar." Suara Imran kedengaran di hujung corong
telefon. "Kalau ada yang sangkut, habislah aku, extend 6 bulan lagilah."
Nafas Kamarul seakan tersekat-tersekat apabila mendengar kata-kata Imran
tadi. Kamarul berdebar-debar, dia sudah tidak sanggup lagi burning the
midnight oil.
Apabila keputusan keluar pada keesokan harinya, ia benar-benar bermakna
bagi Kamarul. "Alhamdulillah, aku lulus." Bagaikan arus sejuk singgah di
kepalanya, dengan kelulusan itu Kamarul dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda
dengan Kepujian. Sejak hari itu, berpuluh-puluh permohonan kerja resume
dihantar ke syarikat-syarikat besar. Akhirnya dia mendapat kerja di
syarikat di Petaling Jaya, sebagai eksekutif dengan gaji RM1,500.
Disebabkan tiada pengangkutan awam ke tempat kerja dari rumahnya, Kamarul
membuat keputusan membeli sebuah motosikal yang berharga RM 3,500. Dia
kekurangan wang lalu ingin meminjam daripada ibunya sebagai wang
pendahuluan dan membayar bakinya dengan ansuran bulanan sebanyak RM200
selama 3 tahun. Ibunya memberikan RM3,500 kepadanya supaya membeli motor
itu secara tunai.
Apabila ada masa terluang pada hujung minggu, Kamarul pergi ke pusat
membeli-belah bagi bermain boling dan menonton filem. Pada suatu hari dia
diperkenalkan dengan kad kredit, selepas diberitahu dia tidak perlu
membayar satu sen pun bagi memilikinya. Tanpa berlengah-lengah lagi,
Kamarul pun bersetuju. "Encik boleh faks satu salinan borang EA (borang
pendapatan). "
Lebih kurang dua minggu kemudian, kad kredit itu sampai dan dia pergi ke
bank bagi mendapatkan nombor PIN kad itu. Sejak hari itu, kad itu tersimpan
kemas tidak terusik di dalam dompetnya. Kini hampir setahun ia tersimpan di
dalam dompet tanpa menggunakannya.
Genap setahun bekerja di Syarikat ABC, Kamarul membeli sebuah kereta. Dia
sudah tidak tahan dengan kepanasan cuaca dan terpaksa berteduh di bawah
jambatan setiap kali hujan lebat.
Harga kereta : RM 53,000
Wang Pendahuluan: RM 1,500
Tempoh : 9 Tahun (108 bulan)
Ansuran : RM 624
Sejak memandu kereta, Kamarul mula menggunakan kad kredit bagi mengisi
minyak keretanya. Sekiranya dahulu, dia membayar tunai kerana RM5 cukup
bagi satu tangki minyak motornya, tetapi sekarang RM50 pun belum penuh satu
tangki keretanya. Kamarul membayar minyak petrol keretanya menggunakan kad
kredit dan menjelaskan bilnya apabila mendapat gaji pada hujung bulan.
Pernah sekali kad kreditnya tidak dapat digunakan. Selepas kejadian itu,
dia memohon satu lagi kad kredit dari bank yang lain. Sekiranya salah satu
kad kreditnya rosak ataupun tidak diterima, dia masih ada satu lagi kad
kredit yang dapat digunakan.
Seperti biasa, setiap tahun, gajinya akan naik di antara 5 - 9%. Kini
gajinya RM 2,750. "Alhamdulillah dengan umur 26 tahun, aku sudah mendapat
gaji sebesar ini." Hatinya benar-benar puas.
Jodoh, rezeki, ajal dan maut di tangan Tuhan. Apabila sampai waktunya,
semua remaja akan bersatu termasuklah Kamarul. Dia bertunang dengan Balqis
dengan menetapkan hantaran kahwin sebanyak RM6,666.
Semasa dalam pertunangan, Kamarul membuat satu pinjaman peribadi bagi
urusan perkahwinannya. "Alhamdulillah, pinjaman aku lulus." Kamarul merasa
gembira pinjaman peribadi sebanyak RM 15,000 dari sebuah bank tempatan
diluluskan. Dia memerlukan duit yang banyak bagi menampung kos hantaran dan
majlis perkahwinannya yang akan diadakan secara sederhana. Selepas
berkahwin dengan Balqis, Kamarul membawa isterinya ke Kuala Lumpur dan
mereka menyewa rumah teres setingkat dengan kadar sewa sebanyak RM 600
sebulan.
Seperti kebiasaan pada setiap pasangan baru berkahwin, terdapat banyak
kekurangan yang perlu disediakan bagi keselesaan hidup berdua. Semasa
bujang dia banyak menggunakan televisyen, mesin basuh dan peralatan lain
yang dimiliki oleh rakan-rakan serumah. Selain daripada keretanya, harta
bujangnya adalah sebuah radio. Rumah Kamarul sunyi sepi, sekiranya dahulu
balik dari tempat kerja, dia dapat menonton televisyen. Tetapi kini,
selepas sembahyang Isyak, mereka terus masuk tidur. Tidak sampai seminggu,
dia pulang dengan sebuah TV berjenama 29 inci. Hatinya puas apabila melihat
senyuman Balqis yang sedang menonton drama kegemarannya itu.
Setiap hari dia terpaksa membeli lauk dan sayur-sayur kerana dia tidak
mempunyai peti sejuk bagi menyimpannya. Akhirnya dia membeli sebuah peti
sejuk yang besar dan selesailah sudah satu lagi masalahnya. Semasa bujang,
dia menghantar pakaiannya ke kedai dobi, kini pakaiannya dibasuh di lantai
bilik air yang sempit. Tidak tahan dengan keadaan itu, dia membawa pulang
sebuah mesin basuh automatik yang dapat memuat muatan sehingga 7 kilogram.
"Sayang, comforter pun kita boleh basuh dengan mesin ini, tidak payah lagi
hendak hantar kedai dobi." Kamarul memberitahu isteri kesayangannya.
"Mana abang dapat duit beli semua ini? Abang dapat bonus, ya?" tanya si
isteri. Kamarul menjawab sambil tersenyum, "Alah, abang ambil di Court,
bayar ansur-ansur. " "Kalau macam itu, boleh tak abang ambil microwave satu,
senang lauk sejuk boleh kita panas, tahan lama sikit, tak payah buang."
Balqis meminta. "Yelah sayang, nanti hujung minggu ini kita pergi ambil."
Setiap kali ada jualan murah, Kamarul mengambil kesempatan membeli barangan
dengan harga yang murah. Pada masa ini, Kamarul sudah tidak lagi membayar
semua perbelanjaannya melalui hutang kad kredit. Dia hanya membuat bayaran
minimum kad kredit setiap kali menerima gaji. Pada masa ini dia sudah mulai
mempunyai hutang kad kredit.
Semasa di tempat kerja, seorang rakan menegur, "Kamarul, engkau sudah buka
e-mel?" tanya si Man. "Kenapa Man? Boss declare bonus ke ?"
Biji mata Kamarul hampir terkeluar apabila membaca e-mel daripada pihak
pengurusan yang tertera 2.5. Dalam hatinya. "Ni bukan 1 bulan tapi 2.5
bulan." Muka Kamarul berubah berseri-seri . "Wow, banyak ni, orang kaya
barulah kita."
Sejak duit bonus sudah masuk ke dalam akaun semalam, Kamarul tidak dapat
duduk diam. Dia asyik terkenangkan duit bonus itu. Akhirnya dia menjual
keretanya dan membeli kereta 1.6 Automatik. Seperti biasa, bayar duit
pendahuluan serendah yang mungkin dan memanjangkan tempoh pembayaran
sehingga maksimum.
Enam bulan selepas berkahwin, Kamarul membawa isterinya ke klinik pakar.
Betapa gembiranya apabila doktor memberitahu isterinya mengandung. Setiap
bulan Kamarul membawanya ke klinik pakar bagi memastikan kesihatan
kandungan isterinya. Klinik ini menerima pembayaran melalui kad kredit.
Apabila sampai waktu bersalin, Kamarul memilih hospital swasta demi
keselesaan isteri tercinta melahirkan zuriatnya yang pertama. Dia mengambil
pakej tiga hari dua malam yang berharga RM 2,500 bagi bersalin secara
normal. Akhirnya isterinya melahirkan anak lelaki yang comel seberat 3.2
kilogram melalui pembedahan Caesaran. Kamarul menggunakan salah satu kad
kreditnya bagi membayar kos hospital yang berjumlah RM4,863.50. Dari lampin
sehinggalah ke susu, semuanya berjenama dan berkualiti demi puteranya
pewaris keturunan.
Kamarul berjaya mendapat kerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat
gergasi dengan gaji permulaan RM3,900. Bagi meraikannya, dia membawa isteri
dan anaknya makan besar di sebuah restoran makanan Jepun. Pembayaran dibuat
dengan menggunakan kad kredit berjumlah RM 258.70.
Sudah tujuh tahun dia tinggal di rumah sewa dengan isteri dan anaknya.
Sudah tiga kali dia berpindah, dari rumah teres setingkat tiga bilik
sehinggalah rumah teres dua tingkat empat bilik. Daripada sewa RM 600
sehinggalah kini dia membayar RM1,000 sebulan.
Terdetik juga di hatinya, "Sampai bila aku nak hidup dengan menyewa?" Dia
pergi ke bank menanyakan jumlah pembiayaan bagi sebuah rumah teres satu
tingkat yang berharga RM 130,000. Alangkah terkejutnya apabila mendapati
dia layak membuat pinjaman membeli rumah yang cantik, besar dan mahal. Apa
lagi, dia pun membeli sebuah rumah teres dua tingkat berharga RM 176,000
dengan ansuran sebanyak RM1,233 selama 30 tahun. Semasa rumah sedang dalam
pembinaan, dia membayar RM 700 sebulan bagi faedah selama dua tahun.
Akhirnya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, pihak pemaju perumahan
menyerahkan anak kunci rumah idamannya tiga bulan lebih awal daripada yang
termaktub dalam perjanjian jual beli. Banyak juga barang yang tidak dibawa
bersama ke rumah baru ini. Peti sejuk, mesin basuh dam sofa yang sudah
usang tidak terkecuali disenaraikan dalam barangan yang akan dibuang.
Kamarul dan Balqis ingin memastikan mereka sekeluarga berpindah ke rumah
baru dengan gembira dan selesa. Apa tidaknya, daripada sofa sehinggalah
katil anak-anaknya, semuanya baru. Dengan 'Skim Bayaran Mudah', Kamarul
dapat mengambil barangan bernilai hampir RM 15,000 dan hanya perlu membayar
RM 419 setiap bulan secara ansuran selama 5 tahun.
Harga barang asyik meningkat, belum cukup bulan duit sudah habis. Bermula
pada saat itu, Kamarul mula berjinak-jinak dengan kad kredit. Sekiranya
dahulu kad kredit digunakan bagi membayar petrol kereta, kini bayaran
servis kereta, bil telefon, bil elektrik sehinggalah barangan dapur
semuanya dibayar dengan kad kredit. Setiap kali mendapat gaji, Kamarul
memastikan pembayaran minimum dibuat bagi setiap kad kredit yang
dimilikinya.
Kamarul dan Balqis sangat gembira semasa menyambut kelahiran anaknya yang
keempat. Akhirnya Kamarul menukar lagi keretanya dengan membeli sebuah MPV
yang berharga RM 100,000 lebih. Memang cantik, besar, selesa, dan kuasa
enjinnya pula adalah 2.5cc. Dia menggunakan duit lebihan dari kereta 1.6
Automatiknya yang dijual. Ansuran bulanan hanyalah RM1,271 bagi tempoh 9
tahun. Lagipun dia baru menerima kenaikan gaji sebanyak 5% (gaji baru
RM4090).
Pada suatu hari, berita memaparkan kenaikan minyak sebanyak 30 sen seliter
bagi petrol. Perbelanjaan petrolnya sudah meningkat tetapi tidak dirasainya
kerana pembayaran dibuat menggunakan kad kredit. Sehingga kini, dia masih
tidak tahu berapa jumlah yang dibelanjakannya bagi minyak keretanya setiap
sebulan.
Dari hari ke hari, hutang Kamarul semakin meningkat disebabkan semua
perbelanjaan dicajkan kepada kad kredit. Dia pula hanya membayar dengan
bayaran minimum dan juga dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi. Hutang
semakin bertambah dan kini sudah setinggi gunung. Dia sudah tidak mampu
mengira jumlah hutang sekarang. Lalu datanglah idea memotong separuh
daripada hutangnya. Pinjaman perumahan yang sudah tinggal RM 90,000
dibiayai semula. Harga pasaran rumah itu pada masa ini adalah RM 280,0000.
Dia mengambil pinjaman sebanyak RM 240,000 dan menyelesaikan pinjaman
perumahan di bank lama sebanyak RM 90,000. Baki RM130,000 digunakan
membayar hutang kad kredit, skim bayaran mudah, pinjaman peribadi dan
kereta.
Duit selebihnya digunakan bagi mengubahsuai rumahnya. Dia menyangkakan
membuat keputusan yang bijak. "Aku sudah membuat keputusan yang bijak,
semua hutang aku bayar. Cuma hutang rumah bertambah sikit, ansuran tinggi
sikit, tempoh ansuran bertambah sikit dan kadar faedah (keuntungan) yang
dikenakan sikit sekiranya dibandingkan dengan dahulu, semuanya sikit-sikit
sahaja." Kamarul mengelamun seketika sambil menghirup kopi panas di kawasan
beranda rumah yang sudah diubahsuai. Jangan lupa sikit-sikit lama-lama jadi
bukit....
Kamarul terjebak semula dengan hutang kad kredit. Dahulu dia merasakan
dialah pengguna yang bijak, rupa-rupanya pengguna yang sudah dipijak. Kini
hampir setiap hari dia diganggu oleh panggilan dari bank yang memintanya
membayar ansuran yang tertunggak. Bagaimana dia hendak bayar, sekiranya
hutang bagi satu kad kredit sudah mencapai beribu-ribu ringgit. Dia pula
memiliki enam kad kredit. Belum lagi dicampur dengan hutang sofa, katil dan
lain-lain yang diambil dengan skim bayaran mudah. Ia sudah pun tertunggak
selama dua bulan.
Pulang dari kerja, dia dikejutkan lagi dengan surat-surat hutang. Kandungan
surat itu memintanya menjelaskan hutang dalam masa 14 hari ataupun mereka
akan mengambil tindakan saman. Segala simpanannya dikeluarkan bagi
mengelakkannya menerima surat saman. Ada kalanya dia terpaksa menangguhkan
bayaran ansuran rumah supaya dapat menjelaskan ansuran kad kredit yang
sudah tiga bulan tertunggak.
"Abang, susu Aiman sudah habis." Balqis berkata pada suatu hari semasa
Kamarul pulang dari pejabat. "Kenapa Balqis tidak beritahu awal bulan,
sekarang mana abang ada duit!" Dalam poket seluarnya hanya ada RM3, dalam
bank RM 16.42. Dia terpaksa mendapatkan bekalan susu di pasar raya yang
menerima pembayaran melalui kad kredit. "Ah, lega... kad kredit diterima"
katanya sambil matanya tertumpu pada mesin pembaca kad kredit.
Sampai sahaja di rumah telefon bimbitnya berbunyi. Balqis bingung mengapa
Kamarul tidak menjawab panggilan itu. "Abang, telefon tu, kenapa tidak
angkat?" tegur Balqis. "Biarlah, orang yang menguruskan kad kredit tu.
Sudah pukul 7 malam pun masih nak bekerja, susahlah kalau macam ini."
"Sudahlah sehari suntuk bank menelefon bertanyakan ansuran kereta yang dua
bulan tertunggak. Bukan aku tidak mahu bayar, tetapi duit bulan ini sudah
habis, tunggulah bulan depan," hatinya berbicara.
"Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga." Begitulah
nasib Kamarul. Sehingga kini, sudah tiga kali dia naik turun mahkamah.
Hutang kad kreditnya sahaja sudah mencapai berpuluh-puluh ribu ringgit,
tetapi gajinya masih di takuk lama. Kini hanya tinggal satu kad kredit
sahaja yang dapat digunakan. Semua keperluannya terpaksa dibayar melalui
kad kredit. Faedah yang perlu ditanggung lebih daripada RM500 sebulan itu
belum dicampur pokok yang perlu dibayar.
Dia merasa takut apabila dilanda musibat kerana tidak mempunyai duit
simpanan. Apabila keretanya rosak, dia tidak dapat menggunakan kad kredit
kerana semua kad kreditnya sudah hampir mencapai had maksimum. Dia terpaksa
menangguhkan pembayaran ansuran rumah dan kereta dan menggunakan duit gaji
itu bagi membaiki keretanya. Kemalangan, kena saman, kereta rosak, anak
masuk wad, ahli keluarga sakit dan insurans kereta tamat adalah
perkara-perkara yang mampu membuatkan dirinya tertekan.
Kini, satu-satunya kenderaannya baru sahaja ditarik. Bagi mengurangkan kos,
dia menghantar anak dan isterinya balik ke kampung buat sementara waktu.
Sebenarnya dia tidak sanggup berpisah dengan mereka tetapi dia terpaksa.
Dia sudah mendapat notis dari bank bagi mengosongkan rumah kerana ia akan
dilelong.
Di kala Kamarul memerlukan sokongan daripada orang yang tersayang, dia
diuji lagi dengan ujian yang besar. Isterinya memohon cerai kerana tidak
tahan dengan keadaan hidup mereka yang semakin susah. Dia sudah tidak mampu
memberi keperluan zahir kerana duit gajinya terpaksa digunakan membayar
hutang-hutang itu.
Dipendekkan cerita, pada 23 Ogos yang lepas, dia diisytiharkan muflis. Dia
berasa sangat malu melihat namanya terpampang di dada akhbar-akbar
tempatan.
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL
EHSAN, MALAYSIA DALAM KEBANKRAPAN NO:XX-XXXX-XXXX
BER:
SI POLAN BIN SI POLAN
(NO. K/P:XXXXXX-XX- XXXX)
....Penghutang
EX-PARTE:
XYZ BANK BERHAD
...........
............ ......... ......... ......... ........
............ ......... ......... ......... .......
Habis semua harta Kamarul dilelong bagi membayar balik segala hutangnya.
Selepas rumah dan keretanya dijual, dia masih berhutang sebanyak RM 45,000.
Kamarul berasa sangat tertekan. Dia merintih, "Mana aku hendak letak lagi
muka aku ini, nama aku sudah tidak ada nilai lagi. Sekiranya dahulu dunia
ini satu pinjaman, maka aku pinjamlah. Tetapi, kini aku sudah tidak ada
apa-apa lagi. Hidup aku porak-peranda kerana hutang. Oh, malangnya nasibku,
seorang yang mempunyai ijazah tetapi akhirnya kecundang. Tetapi kenapa yang
banyak kecundang adalah orang yang berpendidikan tinggi seperti aku ? Harga
diri aku sudah tergadai."
"Wahai cucuku, setiap yang lahir ke dunia ini dimuliakan oleh Tuhan dengan
maruah. Tetapi yang menjatuhkan dan menggadaikannya adalah kita. Tuhan
tidak pernah ingin perkara yang tidak baik kepada kita, hanya kita yang
menghancurkan diri kita. Bertaubatlah, sesungguhnya Tuhan itu maha pemurah
dan pengampun." Suara seorang tua berpakaian serba putih yang muncul dalam
mimpi semalam masih terngiang-ngiang di corong telinga Kamarul.
Ketika ini terdengar di corong telinga Kamarul. "Roh seorang Muslim..." "Ya
Allah, janganlah ambil nyawaku pada masa ini. Aku benar-benar takut
sekiranya Tuhan mengambil nyawa aku pada masa ini kerana aku mungkin
menjadi muflis di dunia dan akhirat."
Hidup aku Porak Peranda Keranamu Hutang
Sinopsis Kewangan Kamarul ( Melalui 4 Fasa)
Fasa 1 - Kais sebulan makan sebulan setengah
Sekiranya dahulu, pendapatan dan perbelanjaan Kamarul dapat diibaratkan
'Kais bulan makan sebulan setengah'. Tetapi selepas setahun di alam
pekerjaan, Kamarul mengorak langkah dengan meningkatkan satu demi satu
perbelanjaan tetap seperti ansuran kereta. Pada masa ini, Kamarul dapat
menyimpan sebahagian daripada duit gajinya setiap bulan. Dia tiada hutang
lain kecuali keretanya.
Fasa 2 - Kais bulan makan bulan
Selepas dua tahun, akhirnya Kamarul diibaratkan kais bulan makan sebulan.
Gaji bulanannya hanya cukup membayar perbelanjaan bulanan dan perbelanjaan
melalui kad kredit yang semakin bertambah. Pada masa ini Kamarul tidak
mampu lagi menyimpan kerana duit gajinya yang diperuntukkan bagi menyimpan
telah dikikis oleh hutang kad kredit. Dia membayar balik segala
perbelanjaan yang dibeli melalui kad kredit pada setiap bulan. Hutangnya
pada masa ini adalah kereta dan rumah.
Fasa 3 - Kais bulan makan setengah bulan
Tanpa menyedari hakikat yang satu malapetaka yang teramat besar akan
menimpanya tidak lama lagi, dia masih berbelanja tanpa membuat sebarang
perancangan. Pada masa ini pendapatan bulanannya hanya mampu menanggung kos
perbelanjaannya bagi setengah bulan manakala baki separuh lagi gajinya
digunakan bagi membayar ansuran hutang. Dalam masa yang sama, dia terpaksa
berhutang bagi separuh daripada keperluan yang tidak mampu dibayarnya
dengan tunai. Akibatnya hutang kad kreditnya bertambah dari hari ke hari.
Sekiranya dia memilih melambatkan pembayaran hutangnya, surat saman akan
sampai kurang daripada tujuh hari. Ini kerana hampir semua ansuran
hutangnya tertunggak 2 bulan.
Fasa Terakhir - Kais bulan boleh makan seminggu
Sekarang Kamarul benar-benar di persimpangan, ¾ daripada gajinya digunakan
bagi membayar ansuran minimum ataupun yang sudah tertunggak 3 bulan. Hanya
tinggal suku daripada gajinya bagi makan, minum, pakai dan memenuhi
keperluan asas yang lain. Gaji masuk setiap 28 haribulan. Pada 29
haribulan, duit dalam akaun sudah tinggal RM 78.42. Pada masa ini, Kamarul
diwartakan sebagai muflis. Bukan kebaikannya yang dipamerkan di dada-dada
akhbar tetapi hutang piutang yang tidak mampu dibayarnya
Read More.. Kisah Sebenar Orang Berhutang